DAMSYIK, 11 April- Syria dan Korea Selatan secara rasmi memeterai hubungan diplomatik buat kali pertama, menurut Kementerian Luar Syria pada Khamis.
Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani menerima kunjungan delegasi Korea Selatan yang diketuai Menteri Luar, Cho Tae-yul.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa turut menerima kunjungan hormat Cho dalam pertemuan berasingan.
"Kedua-dua menteri luar bersetuju untuk membuka kedutaan dan menukar misi diplomatik," menurut kenyataan tersebut.
Langkah itu merupakan sebahagian usaha Syria untuk mengembalikan peranan penting negara tersebut di peringkat serantau dan global, selepas kehilangan pengaruh di bawah pemerintahan rejim terdahulu.
Sebelum ini, Syria berdepan pengasingan diplomatik di barat susulan tindakan keras Bashar al-Assad terhadap demonstrasi prodemokrasi dan perang saudara sejak 2011, sebelum beliau digulingkan Disember lalu.
Sepanjang era Assad, Syria menjalinkan hubungan rapat dengan Korea Utara, musuh tradisi Korea Selatan.- AFP