LAHORE, 4 November – Lahore, ibu negeri Punjab di Pakistan, mencatat indeks kualiti udara (AQI) berbahaya dan disenarai sebagai bandar paling tercemar di dunia, menurut data IQAir.
Pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan (3.00 pagi GMT), bacaan AQI Lahore direkodkan pada paras 441, iaitu tahap yang dikategorikan sebagai “berbahaya” dan boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan penduduk.
Jerebu toksik tebal yang melanda bandar itu menyebabkan penutupan sekolah, gangguan aktiviti harian serta masalah pernafasan dalam kalangan penduduk, terutama pada waktu pagi dan petang.
Bagi menangani pencemaran itu, pihak berkuasa tempatan melaksanakan pelan penanaman pokok secara besar-besaran sebagai langkah mitigasi.
Pengarah Jabatan Taman dan Hortikultur Lahore (PHA), Raja Mansoor Ahmed, berkata pihaknya kini giat melaksanakan projek “Lungs of Lahore” yang melibatkan penanaman 350,000 pokok setakat ini.
“Tahun ini sahaja, kami telah menanam 150,000 pokok di sepanjang Lebuhraya Lingkaran (Ring Road),” katanya.
Beliau turut mengumumkan pelancaran projek baharu dikenali sebagai “Ring Forestation of Lahore”, yang menyasarkan penanaman 2.1 juta pokok sepanjang 113 kilometer mengelilingi bandar itu.
“Projek ini telah diluluskan dan akan dimulakan sebaik dana disalurkan,” katanya sambil menegaskan inisiatif itu sebagai usaha jangka panjang untuk memulihkan alam sekitar Lahore yang semakin terjejas teruk.- REUTERS