CONAKRY, 4 November – Pemimpin junta Guinea, Mamady Doumbouya, secara rasmi mengemukakan pencalonannya bagi Pilihan raya Presiden pada 28 Disember ini, langkah yang berpotensi mengekalkan kuasanya untuk tempoh lima tahun lagi.
Doumbouya yang merampas kuasa melalui rampasan kuasa pada 2021, sebelum ini berikrar tidak akan bertanding dalam pilihan raya.
Namun, perlembagaan baharu yang digubal oleh junta dan diluluskan melalui referendum pada September lalu kini membuka ruang untuk beliau mencalonkan diri.
Perlembagaan baharu itu menggantikan perjanjian selepas rampasan kuasa yang sebelum ini melarang ahli junta menyertai pilihan raya. Ia turut menetapkan bahawa calon presiden mesti berumur antara 40 hingga 80 tahun dan menetap di Guinea.
Syarat baharu itu secara tidak langsung menghalang dua tokoh utama politik negara itu, bekas presiden Alpha Conde, 87, yang kini menetap di luar negara, serta bekas perdana menteri Cellou Dalein Diallo, 73, yang hidup dalam buangan selepas menghadapi tuduhan rasuah yang dinafikannya.
Beberapa tokoh lain, termasuk bekas Perdana Menteri Lansana Kouyate dan bekas menteri luar Hadja Makale Camara, turut mengemukakan pencalonan masing-masing dan layak bertanding.
Guinea merupakan negara yang menempatkan rizab bauksit terbesar di dunia serta deposit bijih besi belum diterokai, terkaya di dunia yang terletak di Simandou.-REUTERS