ABU DHABI, 4 November – Menteri Tenaga Qatar, Saad Al-Kaabi, memberi amaran bahawa negara Teluk itu akan menghentikan bekalan gas asli cecair (LNG) ke Eropah, sekiranya Kesatuan Eropah (EU) meneruskan pelaksanaan peraturan baharu berkaitan alam sekitar dan hak asasi manusia yang dicadangkan di bawah Arahan Usaha Wajar Kelestarian Korporat (CSDDD).
Peraturan CSDDD yang diluluskan pada April 2024 menuntut syarikat besar bertanggungjawab terhadap kesan negatif terhadap hak asasi manusia dan alam sekitar sepanjang rantaian bekalan global mereka.
Undang-undang itu mendapat sokongan luas daripada ahli politik Eropah termasuk golongan kiri, hijau dan beberapa wakil parti kanan sederhana, namun turut dikritik kerana dikatakan terlalu membebankan sektor perniagaan.
“Jika Eropah tidak mempertimbangkan untuk menangguhkan atau membatalkan CSDDD, dan masih mengenakan penalti sebanyak lima peratus daripada jumlah perolehan global kami, kami tidak akan menghantar LNG ke Eropah,” tegas Menteri Tenaga Qatar, Saad Al-Kaabi pada Persidangan Petroleum Abu Dhabi pada Isnin.
Qatar merupakan antara pengeluar LNG utama dunia bersama Amerika Syarikat, Australia dan Rusia.
Permintaan terhadap gas negara itu meningkat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 menjejaskan bekalan tenaga ke Eropah.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Qatar telah memeterai perjanjian bekalan LNG dengan Total (Perancis), Eni (Itali), Petronet (India) dan Sinopec (China).
“Semua rakan kongsi kami tahu bahawa Qatar kekal dengan dasar yang sama, bagaimana kami melihat perniagaan, peralihan tenaga, serta keperluan minyak dan gas untuk masa depan. Pendekatan itu tidak berubah,” katanya.
CSDDD yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Eropah pada 2022 dan diterima pakai pada April 2024, masih belum berkuat kuasa sepenuhnya.