fb fb fb fb fb

Menara bersejarah di Rom runtuh, seorang pekerja terperangkap

Operasi menyelamat mangsa yang terlibat dalam kejadian menara 'Torre dei Conti' runtuh/ AFP

ROM, 4 November – Sebahagian menara bersejarah abad ke-13, Torre dei Conti, di pusat bandar Rom, runtuh ketika kerja pengubahsuaian pada pagi Isnin.

Seorang pekerja dipercayai masih hidup, namun terperangkap di bawah runtuhan, menurut pihak berkuasa.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi, menyebabkan debu tebal menyelubungi kawasan berhampiran Colosseum.

Menurut Pengawas Rom, Lamberto Giannini, situasi berkenaan sangat rumit kerana anggota bomba berdepan cabaran besar untuk menyelamatkan mangsa.

“Ada tanda-tanda menunjukkan individu berkenaan masih hidup, namun keadaan sebenar belum dapat dipastikan,” katanya kepada media.

Tiga pekerja berjaya diselamatkan, seorang daripadanya parah dan dibawa ke hospital.

Sebahagian lagi menara runtuh kira-kira sejam kemudian, namun pasukan penyelamat sempat membina perlindungan di sekitar mangsa. Perlindungan itu membantu mengurangkan risiko terhadap mangsa.

Dron dan kren digunakan bagi menilai keadaan bangunan itu.

Pihak berkuasa juga menjangkakan operasi menyelamat akan berterusan untuk tempoh yang panjang.

Menara Torre dei Conti, sedang dibaik pulih menggunakan dana Kesatuan Eropah (EU).-AFP

ROSLINA BINTI DIN