THE HAGUE, 3 November - Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi amaran bahawa kekejaman yang dilaporkan berlaku di bandar El-Fasher, Sudan, mungkin terangkum sebagai jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Pendakwa (OTP) ICC menyatakan kebimbangan terhadap laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pelbagai kekejaman lain yang didakwa berlaku selepas bandar itu dikuasai oleh kumpulan tentera pemberontak, RSF.
Selepas 18 bulan kepungan, pengeboman dan kebuluran, RSF merampas El-Fasher pada 26 Oktober, sekali gus menyingkirkan tentera Sudan daripada kubu terakhir mereka di wilayah barat Darfur.
“Kekejaman ini adalah sebahagian daripada corak keganasan yang lebih luas yang melanda seluruh wilayah Darfur sejak April 2023. Jika disahkan, tindakan itu mungkin merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan mengikut Statut Rom, teks penubuhan ICC,” menurut kenyataan OTP.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 65,000 penduduk meninggalkan El-Fasher, termasuk sekitar 5,000 ke bandar Tawila berhampiran, manakala puluhan ribu lagi masih terperangkap di bandar tersebut.
Sejak pengambilalihan RSF, terdapat laporan mengenai keganasan seksual, rompakan, serangan terhadap pekerja bantuan dan penculikan. Malah sistem komunikasi di kawasan itu masih terputus.
Pejabat Pendakwa ICC menyeru orang ramai menghantar bukti jenayah yang berlaku melalui saluran selamat mahkamah, dan ICC menegaskan ia mengekalkan bidang kuasa ke atas jenayah dalam konflik semasa di Darfur.- AFP