GAZA CITY, 3 November — Israel pada Isnin memulangkan mayat 45 rakyat Palestin ke Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan yang diserahkan di bawah perjanjian gencatan senjata kini sebanyak 270 orang, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.
Perjanjian gencatan senjata itu, yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menetapkan bahawa negara haram tersebut akan menyerahkan 15 mayat rakyat Palestin bagi setiap warganya yang dipulangkan.
Sementara itu, pihak berkuasa Israel mengesahkan tiga mayat yang diserahkan Hamas sehari sebelumnya adalah milik tentera rejim Zionis termasuk seorang anggota berpangkat kolonel.
Hamas menemukan ketiga-tiga mayat tersebut di sepanjang laluan terowong di selatan Gaza.
Israel seperti lazimnya dengan sewenang-wenangnya menuduh Hamas melengah-lengahkan proses penyerahan mayat, namun Hamas menjelaskan proses tersebut mengambil masa kerana banyak mayat dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Gaza yang berdepan serangan berterusan tentera Zionis sejak Oktober 2023.-AFP