fb fb fb fb fb

WHO gesa usaha lebih giat bendung wabak campak

Foto AFP

GENEVA, 11 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis menggesa usaha lebih besar diambil bagi membendung penularan wabak campak yang kini merebak di 58 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang telah mencatatkan dua kematian melibatkan kanak-kanak.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Geneva itu turut menegaskan bahawa vaksin campak adalah selamat dan berkesan.

Pengarah Jabatan Vaksin WHO, Kate O’Brien dalam sidang media berkata campak adalah antara virus paling mudah berjangkit.

"Jadi, jika ada campak di mana-mana, bermakna risikonya ada di mana-mana. AS sedang berusaha mengawal dan menamatkan wabak ini.

"Selagi wabak masih berlaku, itu bermakna usaha yang diambil masih belum mencukupi. Kita hanya boleh kata usaha mencukupi apabila wabak itu benar-benar berakhir," katanya.

O’Brien menjelaskan penularan wabak campak kini berpunca daripada penurunan kadar pengambilan vaksin, sebahagiannya akibat gangguan susulan pandemik COVID-19.

“Vaksin campak ini sangat selamat dan amat berkesan,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun mengelak daripada mengkritik Presiden AS, Donald Trump dan Setiausaha Kesihatannya, Robert Kennedy Jr, yang terkenal sebagai skeptikal vaksin.

Kennedy dikritik kerana didakwa tidak mengambil tindakan mencukupi untuk mengekang wabak campak yang berpunca dari Texas, dengan ratusan kes dilaporkan.

Malah, beliau hanya mula mengakui keberkesanan vaksin tersebut dalam tempoh terdekat ini.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM