BANGKOK, 9 Ogos - Keluarga kepada dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian pada Khamis meminta pihak berkuasa Thailand membenarkan mereka dibawa pulang ke Malaysia sebaik sahaja keadaan kesihatan mengizinkan.
Dua rakyat Malaysia itu, dikenali sebagai Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya Ong Yik Leong, 26, diserang oleh seorang lelaki yang didakwa menyimbah cecair sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri pada 10 malam Khamis.
Gan Kin In, 80 tahun, berkata anak perempuannya itu tiba di Bangkok pada Rabu untuk bercuti, sehari sebelum kejadian berlaku.
“Hati saya berasa tidak sedap apabila Xiao Zhen memberitahu minggu lalu bahawa dia merancang untuk bercuti ke Thailand bersama teman lelakinya.
“Terlalu banyak kejadian berlaku di Thailand tahun ini, dan saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk melancong ke sini.
“Tetapi Xiao Zhen meyakinkan saya bahawa ia selamat,” katanya ketika ditemui di King Chulalongkorn Memorial Hospital pada Sabtu.
Beliau berkata kedua-dua keluarga telah meminta laporan perubatan mengenai keadaan semasa mangsa semasa taklimat ringkas dengan pihak berkuasa Thailand dan kakitangan perubatan hospital.
Gan Kin In menyatakan, keluarga berharap mangsa dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin berikutan kekangan penginapan di negara asing.
Beliau berkata Xiao Zhen kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, mengalami 36 peratus lecur tahap kedua pada muka, dada dan lengan.
“Dia sedar, berada dalam keadaan stabil dan berkomunikasi dengan menulis. Doktor memaklumkan dia mungkin memerlukan kira-kira sebulan untuk pulih,” katanya.
Sementara itu, Yik Leong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Police General Hospital juga berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA