BANGKOK, 9 Ogos - Sekurang-kurangnya 10 penumpang cedera apabila sebuah tren menuju Bangkok tergelincir di Kui Buri, wilayah Prachuap Khiri Khan, awal pagi Sabtu, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Menurut Keretapi Negara Thailand, tiga gerabak tren berkenaan tergelincir daripada landasan dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi.
Agensi Berita Thailand melaporkan semua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak berkuasa sedang menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi. - BERNAMA