NEW YORK, 11 April- Sebuah helikopter pelancong terhempas ke dalam Sungai Hudson, berhampiran Lower Manhattan, New York pada Khamis, menyebabkan operasi menyelamat besar-besaran dijalankan oleh pihak berkuasa kecemasan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata kesemua enam individu di dalam helikopter itu; membabitkan juruterbang, dua orang dewasa dan tiga kanak-kanak dipercayai telah meninggal dunia.
Beliau menyifatkan nahas itu sebagai “sangat tragik” dalam satu hantaran di Truth Social.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan, helikopter jenis Bell 206 itu terhempas dan tenggelam ke dasar Sungai Hudson.
"Jumlah sebenar penumpang masih belum dapat dipastikan.
"FAA bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) akan menjalankan siasatan lanjut, dengan NTSB mengetuai siasatan itu," menurut FAA.
CBS melaporkan helikopter berkenaan telah terbang merentasi Pulau Governor (Governor’s Island) sebelum bergerak berhampiran Patung Liberty (Statue of Liberty).
Sumber memberitahu REUTERS bahawa ini merupakan penerbangan ketiga helikopter berkenaan pada hari Khamis itu.
Polis New York turut menasihatkan orang ramai untuk bersiap sedia menghadapi kehadiran kenderaan kecemasan dan kemungkinan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar lokasi kejadian.- REUTERS