YANGON, 29 Oktober - Parti-parti layak bertanding dalam pilihan raya Myanmar mula berkempen pada Selasa, dua bulan lebih awal sebelum pengundian berlangsung.
Pilihan raya itu bagaimanapun ditolak baik oleh rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa yang melihatnya sebagai muslihat untuk mengesahkan pemerintahan tentera.
Myanmar dilanda perang saudara sejak junta tentera merampas kuasa pada tahun 2021 yang menyaksikan pemerintahan bekas Kauselor Negara, Aung San Suu Kyi dijatuhkan, manakala beliau sendiri dipenjarakan selepas partinya memenangi pilihan raya lalu dengan margin yang besar.
Junta telah kehilangan sebahagian besar negara kepada kumpulan prodemokrasi dan puak bersenjata etnik minoriti yang dilabelkan sebagai pemberontak, namun mengumumkan pilihan raya sebagai jalan perdamaian.
Kumpulan pemberontak berikrar untuk memboikot pilihan raya di wilayah yang ditadbir mereka, manakala kumpulan hak asasi manusia dan seorang pakar PBB telah mengecam syarat sekatan pengundian di zon yang dikuasai junta.
"Pilihan raya ini tidak bermakna bagi saya,” kata seorang lelaki berusia 60 tahun di bandar Sittwe, ibu negeri Rakhine.
"Ia bukan pilihan raya yang tulen dan saya nampak tiada siapa yang menyokongnya. Orang ramai sedang bergelut dengan masalah mereka sendiri," tambahnya.
"Saya melihat semakin ramai pengemis di bandar kerana orang ramai kelaparan. Orang ramai tidak mempunyai pekerjaan dan oleh itu pilihan raya kelihatan seperti prospek yang jauh. Mereka tidak mempunyai masa untuk berminat dengannya."
Terdapat 57 parti akan bertanding apabila pilihan raya dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai 28 Disember depan.
Media kerajaan pada Selasa memaklumkan bahawa pusingan kedua ditetapkan pada 11 Januari, tetapi pusingan seterusnya dan tarikh keputusan belum diumumkan.
Liga Kebangsaan untuk Demokrasi pimpinan Suu Kyi yang memenangi 82% kerusi pada pilihan raya umum 2020 tidak akan bertanding kerana junta membubarkan parti selepas memenjarakan beliau dan membuat dakwaan tidak berasas mengenai penipuan pengundi.
"Sehingga kini, pintu pagar ibu pejabat parti itu di Yangon masih berkunci, " kata seorang wartawan AFP. - AFP