fb fb fb fb fb

64 maut dalam operasi dadah di Rio

2,500 anggota polis menyertai operasi dadah di Rio, Brazil / Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 29 Oktober - Sekurang-kurangnya 64 maut selepas anggota polis lengkap bersenjata menyerbu kawasan setinggan dekat Rio dalam operasi dadah besar-besaran.

Seramai 2,500 pegawai serta kenderaan berperisai dan helikopter turut serta dalam serbuan yang menyasarkan salah satu kumpulan pengedar dadah utama di Brazil yang beroperasi di dua kawasan kejiranan miskin yang dipanggil favela.

Kawasan digempur tidak ubah seperti medan perang dengan imej yang tersebar di media sosial menunjukkan kepulan asap ketika letupan tembakan masih kedengaran.

Gabenor Negeri, Rio Claudio Castro menyifatkan operasi itu sebagai yang terbesar dalam sejarah negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan memaklumkan serbuan terbabit bertujuan melumpuhkan kumpulan dikenali sebagai Comando Vermelho.

"Angka kematian setakat ini disahkan sebanyak 64, termasuk empat pegawai polis, "kata sumber dalam perkhidmatan keselamatan.

Sumber itu tidak menyatakan sama ada mangsa lain yang maut adalah suspek jenayah.

Serbuan di favela adalah perkara biasa tetapi kali ini melibatkan jumlah kematian tertinggi.

Pada 2021, pertempuran antara polis dengan kumpulan penjenayah di kawasan sama meragut 28 nyawa.

Polis turut merampas sekurang-kurangnya 42 senapang bersama sejumlah besar dadah," kata Castro.

Sekurang-kurangnya 81 orang telah ditangkap.

Serbuan tertumpu pada dua gugusan favela di utara Rio, Complexo da Penha dan Complexo do Alemao, yang terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa.

Seorang jurugambar AFP melihat anggota polis bersenjata lengkap membawa pergi lelaki yang ditahan, kebanyakan berkaki ayam dan tidak berbaju.

Tahun lalu, kira-kira 700 orang maut semasa operasi polis di Rio. -AFP

EMMI NORALIZA ADNAN