TEHRAN, 29 Oktober - Iran telah menuntut denda $170 juta dolar Amerika Syarikat daripada pemilik kapal kargo yang dituduh ada hubungkait dengan Israel yang dirampasnya di perairan Teluk, tahun lalu.
Jurucakap kehakiman Iran, Asghar Jahangir berkata, pertuduhan telah difailkan dan kes itu bawah pertimbangan hakim, walaupun tiada tarikh ditetapkan untuk perbicaraan.
"Denda $170 juta telah dituntut terhadap pemiliknya, yang berasal dari Israel, yang dituduh membiayai keganasan," kata Jahangir.
Pengawal Revolusi Iran memintas kapal MSC Aries pada April 2024 dan menahan 25 anak kapal antarabangsanya.
Ketika itu, agensi berita rasmi IRNA melaporkan, kapal yang mengibarkan bendera Portugis itu "diuruskan oleh Zodiac, yang dimiliki oleh kapitalis Zionis, Eyal Ofer".
Wakil MSC dalam kenyataan selepas rampasan dilakukan mengisytiharkan bahawa kapal itu disewa MSC dari Zodiac, sebuah syarikat British yang beribu pejabat di London.
Beberapa kru kapal telah dibebaskan. - AFP