fb fb fb fb fb

Rundingan nuklear AS-Iran berlangsung Sabtu ini

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio / Foto Reuters

WASHINGTON, 11 April – Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran hujung minggu ini bagi membincangkan program nuklear negara itu, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Rundingan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu di Oman itu akan melibatkan utusan khas AS, Steve Witkoff, dan seorang pemimpin kanan Iran.

“Kami berharap ia akan membawa kepada keamanan. Kami telah sangat jelas bahawa Iran tidak akan sesekali memiliki senjata nuklear, dan saya percaya itulah yang membawa kepada pertemuan ini,” ujar Rubio dalam satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Presiden Donald Trump.

Sebelum ini, Trump telah mengejutkan ramai pihak apabila beliau mengumumkan pada Isnin bahawa rundingan terus antara Washington dan Tehran akan bermula Sabtu ini. Beliau turut memberi amaran bahawa Iran akan berada dalam "bahaya besar" sekiranya rundingan tersebut menemui kegagalan.

Bagaimanapun, pengumuman itu mencetuskan kekeliruan susulan kenyataan Iran yang sebelum ini menegaskan sebarang rundingan hanya akan berlangsung secara tidak langsung dengan perantaraan Oman.

Seorang pegawai AS yang mengetahui rancangan tersebut memaklumkan kedua-dua delegasi akan ditempatkan dalam bilik yang sama semasa rundingan berlangsung.

Pada hari Rabu, Presiden Trump sekali lagi memberi amaran bahawa Amerika Syarikat bersedia menggunakan kekuatan ketenteraan sekiranya Iran enggan menghentikan program nuklearnya. Beliau turut menyatakan bahawa Israel akan memainkan peranan utama dalam sebarang tindakan ketenteraan yang diambil.

“Iran tidak boleh dibiarkan memiliki senjata nuklear. Jika mereka enggan menghentikan pembangunannya, tindakan ketenteraan mungkin akan diambil,” tegas Trump.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN