fb fb fb fb fb

Tarif AS: China seru dialog bersifat adil, bukan ugutan

Foto hiasan/ AFP

BEIJING, 10 April- Tekanan dan ugutan daripada Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyelesaikan pertikaian perdagangan semasa antara China dan AS, menurut Kementerian Perdagangan China pada Khamis, sambil menyeru agar kembali kepada dialog yang adil.

Jurucakap kementerian, He Yongqian memberitahu sidang media bahawa walaupun China tetap terbuka untuk perbincangan, sebarang perbincangan mesti berasaskan saling hormat menghormati dan dijalankan atas dasar kesaksamaan, lapor Xinhua.

Jika AS berkeras untuk melancarkan perang perdagangan, China akan berjuang hingga ke akhirnya, kata jurucakap itu.

"Tekanan, ugutan dan pemerasan bukan cara yang betul untuk menangani China. Kami berharap kedua-dua negara akan bekerja ke arah menyelesaikan perbezaan melalui dialog dan perundingan, dipandu oleh prinsip saling hormat menghormati, kewujudan bersama dengan aman dan kerjasama menang-menang," kata He.

Menekankan yang tiada pihak yang akan menang dalam perang perdagangan dan proteksionisme tidak membawa ke mana-mana, jurucakap itu berkata China tidak akan menerima taktik AS yang mengenakan tekanan maksimum dan membuli dan akan mengambil langkah tegas serta berkesan untuk mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah.

Di tengah-tengah tentangan meluas dari dalam Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa terhadap apa yang disebut sebagai "tarif timbal balik" oleh AS, jurucakap itu berkata China mendesak AS agar menarik balik langkah tarif unilateralnya secepat mungkin.

Jurucakap itu juga menyeru AS untuk membetulkan tindakan yang tersasar dan membantu mewujudkan suasana yang kondusif untuk dialog dan perundingan.-BERNAMA-XINHUA

ROSLINA BINTI DIN