fb fb fb fb fb

Tentera AS bunuh 14 suspek penyeludup dadah

Dua bot dinaiki suspek penyeludupan dadah di Lautan Pasifik / Foto REUTERS

WASHINGTON, 29 Oktober - Tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh 14 orang dalam serangan terbaharu yang memusnahkan empat bot penyeludupan dadah di timur Lautan Pasifik, menjadikan angka kematian keseluruhan dalam kempen antinarkotik meningkat kepada sekurang-kurangnya 57.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menerusi hantaran dalam akaun X memaklumkan, tiga serangan dilancarkan di perairan antarabangsa mengakibatkan 14 penjenayah narkotik maut, manakala seorang terselamat.

"Empat kapal itu telah dikenalpasti oleh perisikan, transit di sepanjang laluan pengedaran narkotik yang dikesan dan membawa bahan terlarang," katanya.

Ini merupakan angka kematian paling banyak dalam tempoh sehari sejak Washington melancarkan kempen memerangi dadah bermula awal September lepas.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 14 kapal telah dimusnahkan di Laut Caribbean dan Pasifik.

Ketua Pengarah Pentagon itu turut memuatnaik video serangan yang pertama menyasarkan dua bot pegun yang kelihatan berlabuh bersama, dan dua lagi di atas kapal yang meluncur laju melintasi perairan terbuka.

Hegseth berkata bahawa US Southern Command (SOUTHCOM) telah menjalankan operasi segera bagi mengesan satu-satunya suspek yang terselamat, dengan pihak berkuasa Mexico "menerima kes itu dan memikul tanggungjawab untuk menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat." -REUTERS

EMMI NORALIZA ADNAN