NAIROBI, 28 Oktober - Sebuah pesawat terhempas di wilayah pesisir Kwale, Kenya, awal pagi Selasa, mengorbankan 11 orang
Kebanyakan mangsa adalah pelancong asing yang dalam penerbangan menuju ke Taman Negara Maasai Mara.
Syarikat penerbangan Mombasa Air Safari dalam kenyataannya memaklumkan bahawa lapan penumpang warga Hungary, dua warga Jerman dan seorang juruterbang warga Kenya terbunuh.
Menurut pihak berkuasa, pesawat tersebut terhempas di kawasan berbukit dan berhutan kira-kira 40 kilometer dari landasan udara Diani.
Syarikat penerbangan terbabit tidak mengesahkan waktu sebenar pesawat berlepas dari Diani.
Namun memaklumkan bahawa juruterbang terputus hubungan dengan menara kawalan sejurus berlepas.
Pesuruhjaya Daerah Kwale, Stephen Orinde, berkata pasukan penyiasat sedang meneliti punca kemalangan yang berlaku pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan.
Menurut pihak berkuasa, pesawat itu meletup dan terbakar, meninggalkan serpihan yang hangus di lokasi kejadian.
Saksi kejadian berkata bahawa mereka mendengar letupan kuat dan mendapati mayat mangsa dalam keadaan tidak dapat dikenal pasti.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA) sebelum itu melaporkan bahawa terdapat 12 orang di dalam pesawat jenis Cessna Caravan berkenaan. - REUTERS