BRUSSELS, 28 Oktober - Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan keras pihak berkuasa Cameroon dalam menangani protes susulan pilihan raya presiden yang dipertikai.
EU turut menggesa pembebasan segera semua individu yang ditahan secara tidak sah oleh kerajaan Cameron.
Jurucakap hal ehwal luar EU, Anouar El Anouni, berkata blok itu menggesa semua pihak agar bertenang dan mengelak sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di negara Afrika Tengah itu.
“EU amat kesal dengan kematian beberapa orang awam akibat tembakan senjata api, dan menyeru agar semua tahanan politik yang ditahan sejak pilihan raya presiden dibebaskan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh sejak penunjuk perasaan membanjiri jalanan bagi membantah kemenangan Paul Biya, ketua negara tertua di dunia, yang diumumkan memenangi penggal kelapan sebagai Presiden Cameroon.
Menurut Gabenor wilayah Douala, empat kematian dilaporkan pada Ahad lalu selepas pertembungan antara penyokong pembangkang dan pasukan keselamatan.
Protes bagaimanapun berterusan pada Isnin meskipun sekatan dikenakan, dengan laporan menyebut pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan peserta tunjuk perasaan.
Keganasan selepas keputusan pilihan raya yang lebih sengit daripada dijangka itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan krisis politik semakin meruncing di bekas tanah jajahan Perancis itu.
Paul Biya, 92 tahun, merupakan pemimpin kedua Cameroon sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada 1960.
Beliau telah berkuasa lebih empat dekad dan dikenali dengan kerana pemerintahan kuku besi yang mengekang pembangkang serta gerakan bersenjata.
Di bawah pentadbirannya, Cameroon berdepan cabaran sosial dan ekonomi yang berpanjangan, termasuk ketidaksamaan pendapatan dan konflik pemisah di wilayah barat laut serta barat daya negara itu. - AFP