fb fb fb fb fb

AS-Jepun muktamadkan perjanjian bekalan mineral kritikal dan nadir bumi

FOTO AFP

TOKYO, 28 Oktober - Amerika Syarikat (AS) dan Jepun menandatangani perjanjian bagi memperkukuh kerjasama dalam menjamin bekalan mineral kritikal dan unsur nadir bumi, menurut White House, bersempena lawatan Presiden Donald Trump ke Tokyo.

Perjanjian itu dimeterai ketika Washington berusaha mempelbagaikan sumber mineral penting susulan tindakan China mengetatkan kawalan eksport nadir buminya.

Menurut kenyataan bersama itu, perjanjian tersebut bertujuan untuk “meningkatkan daya tahan dan keselamatan” dalam rantaian bekalan mineral kritikal dan nadir bumi.

Kedua-dua negara akan mengenal pasti projek bersama bagi menangani jurang dalam rantaian bekalan, termasuk pengeluaran magnet kekal, bateri, serta bahan optik.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kedua-dua kerajaan berhasrat menggembleng sokongan sektor awam dan swasta untuk menjayakan inisiatif tersebut.

Selain itu, AS dan Jepun juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pembinaan kapal, menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, dan Menteri Pengangkutan Jepun, Yasushi Kaneko.

Memorandum itu bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bersama yang akan memberi tumpuan kepada peluasan kapasiti pembinaan kapal, perkongsian amalan terbaik serta pelaburan strategik untuk memodenkan limbungan kapal.

China kini mendominasi industri pembinaan kapal dunia,

Sektor berkenaan telah lama merosot di AS.

Namun, Trump menegaskan komitmennya untuk mengembalikan kegemilangan industri tersebut.

“Dulu kita merupakan pemain utama dalam pembinaan kapal, kemudian kita hilang arah,” kata Trump.

“Kita akan bekerjasama dengan Jepun untuk membina kapal semula", katanya.

Selain perjanjian berkaitan mineral dan pembinaan kapal, kedua-dua negara turut membincangkan beberapa projek pelaburan Jepun di AS, khususnya dalam sektor tenaga dan teknologi.

Sebagai timbal balas kepada perjanjian perdagangan yang dicapai pada Julai lalu yang mengurangkan tarif terhadap barangan Jepun, Amerika Syarikat menuntut pelaburan bernilai AS$550 bilion atau (RM2.65 trilion) daripada Jepun, namun terma akhir masih dibincangkan.

Antara pelaburan yang dipertimbangkan termasuk pembinaan reaktor nuklear bernilai AS$100 bilion oleh syarikat AS, Westinghouse, serta projek reaktor modular kecil (SMR) bernilai sama oleh GE Vernova.

Jepun juga merancang memperkukuh infrastruktur kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama dengan syarikat seperti Toshiba, Hitachi dan Mitsubishi Electric.

Selain itu, kedua-dua negara turut berbincang mengenai pembangunan kilang pemprosesan mineral kritikal bagi mengurangkan kebergantungan terhadap China dalam rantaian bekalan strategik. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD