BAITULMAQDIS, 29 Oktober - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera Zionis melakukan serangan besar-besaran ke atas Gaza selepas menuduh kononnya Hamas mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui bawah Pelan Damai Gaza.
Kenyataan Pejabat Menteri menyebut, susulan rundingan keselamatan, Netanyahu mengarahkan tentera untuk segera melakukan serangan hebat di wilayah Palestin itu.
Beberapa minit selepas arahan itu dikeluarkan, Hamas memaklumkan ia akan menangguhkan penyerahan mayat seorang lagi rakyat Israel selepas mendakwa Zionis melanggar gencatan senjata.
"Kami akan menangguhkan penyerahan yang dijadualkan hari ini disebabkan pencabulan tentera pendudukan," kata sayap bersenjata Hamas dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa sebarang "peningkatan serangan Israel akan menghalang pencarian, penggalian dan penemuan mayat".
Pada Isnin, Hamas menyerahkan mayat ke-16 daripada 28 mayat seperti yang dipersetujui bawah perjanjian gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lepas.
Tetapi pemeriksaan forensik Israel mendakwa kononnya mayat yang diserahkan adalah sebahagian anggota badan warga Israel yang telah dibawa pulang ke tanah haram Israel kira-kira dua tahun lalu, menurut pejabat Netanyahu.
Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem menolak dakwaan kumpulan itu mengetahui di mana lokasi mayat warga Israel yang terbunuh ekoran pengeboman bertalu-talu Zionis menyebabkan lokasi tidak dapat dikenalpasti.
Hamas juga menuduh Israel melanggar gencatan senjata, dengan Kementerian Kesihatan wilayah itu menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 94 orang terkorban akibat ditembak Israel sejak gencatan senjata bermula.
Di Gaza, Abdul-Hayy al-Hajj Ahmed, 60, memberitahu AFP dia takut perang akan tercetus semula kerana tekanan yang semakin meningkat ke atas Hamas.
“Sekarang mereka menuduh Hamas berlengah-lengah, dan itu adalah alasan untuk peningkatan dan peperangan baharu,” katanya.
"Kami mahu berehat. Saya percaya perang akan kembali," tambahnya. - AFP