BEIJING, 13 November-Presiden China, Xi Jinping, bertolak ke Peru pada Rabu untuk menghadiri pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dibayangi kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan global di bawah pentadbiran Donald Trump.
Xi akan menyertai pemimpin-pemimpin dari Amerika Syarikat dan negara-negara Asia-Pasifik lain di ibu kota Peru, Lima, bagi pertemuan APEC.
Selepas itu, beliau akan ke Brazil untuk menghadiri sidang kemuncak G20.
China yang merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia kini sedang bergelut dengan krisis perumahan berpanjangan dan kadar kepenggunaan perlahan, yang mungkin bertambah buruk di bawah Trump, yang sebelum ini berjanji untuk mengenakan tarif 60 peratus ke atas import dari China.
Di Peru, Xi turut dijangka merasmikan pelabuhan pertama yang dibiayai oleh China di Amerika Selatan, terletak di Chancay, kira-kira 80 kilometer ke utara Lima.
Kompleks bernilai AS$3.5 bilion itu dijangka berfungsi sebagai hab perdagangan utama dan dilihat sebagai simbolik kepada pengaruh Beijing yang semakin berkembang di Amerika Selatan, menyaksikan China telah membina pelbagai rangkaian kereta api, lebuh raya, dan infrastruktur lain.
Perdagangan dua hala antara China dan Peru antara salah satu ekonomi dengan pertumbuhan terpantas di Amerika Latin dalam dekad lalu telah mencecah hampir AS$36 bilion pada tahun 2023 sekali gus menjadikan Peru sebagai rakan dagang keempat terbesar China di Amerika Latin.
Pelabuhan Chancay juga akan berfungsi untuk Negara Amerika Selatan membolehkan mereka mengelak pelabuhan di Mexico dan Amerika Syarikat untuk perdagangan dengan Asia.
Bermula pada Rabu, Lima akan menerima menteri-menteri kerajaan dan pemimpin perniagaan negara-negara anggota APEC, termasuk Rusia, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Chile, dan Australia.
Mesyuarat peringkat menteri akan berlangsung pada Khamis, diikuti perbincangan peringkat ketua negara selama dua hari berikutnya.
Penyiar rasmi China, CCTV melaporkan bahawa Xi akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Wang Yi, semasa di Peru.-AFP