fb fb fb fb fb

Somaliland adakan pilihan raya umum di sebalik konflik 'Tanduk Afrika'

Presiden Somaliland, Muse Bihi /Foto REUTERS

HARGEISA, 13 November-Somaliland, sebuah wilayah yang terpisah dari Somalia akan mengadakan pilihan raya Presiden pada Rabu di tengah ketegangan yang semakin meningkat di Tanduk Afrika.

Wilayah ini, yang terletak di barat laut Somalia, mengisytiharkan kemerdekaan secara sepihak pada tahun 1991.

Sejak itu, Somaliland kekal lebih stabil dan aman berbanding dengan bahagian lain negara tersebut.

Namun, meskipun mempunyai mata wang, pasport, dan tentera sendiri, Somaliland masih belum diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia.

Kini, wilayah itu menjadi tumpuan pertikaian dengan Ethiopia, yang menurut pemerhati antarabangsa, berpotensi mencetuskan konflik di kawasan bergolak.

Pada Januari lalu, Presiden Somaliland, Muse Bihi, menandatangani perjanjian dengan Ethiopia, menawarkan pajakan 20 kilometer atau (12 batu) kawasan pantainya di Laut Merah kepada negara jiran yang tidak mempunyai akses ke laut itu.

Bihi mendakwa Ethiopia akan mengiktiraf kedaulatan Somaliland sebagai balasan, walaupun hal ini belum disahkan oleh Addis Ababa dan butiran penuh perjanjian tersebut belum didedahkan kepada umum.

Memorandum persefahaman berkenaan menimbulkan kemarahan di Somalia,serta mencetuskan peningkatan ketegangan mulut dan ketenteraan dengan Ethiopia yang membimbangkan komuniti antarabangsa.

Bihi, yang telah memegang kuasa sejak 2017 di bawah parti Kulmiye, berjanji akan meneruskan kemajuan perjanjian itu sekiranya beliau dipilih semula.

"Itulah hujah utamanya, agenda utamanya dalam pilihan raya ini," kata peguam tempatan dan penganalisis politik, Guleid Ahmed Jama.

Namun, Jama menegaskan bahawa kestabilan ekonomi dan keamanan adalah lebih penting kepada 1.2 juta pengundi wilayah yang serba kekurangan walaupun perhimpunan jalanan prapilihan raya meriah dan penuh warna-warni.

Kempen tersebut sering kali tegang, dengan pihak pembangkang menuduh Bihi memecahbelahkan Somaliland.

Seorang penyokong pembangkang, Hood Abdullahi Adan, memberitahu AFP bahawa wilayah tersebut telah "mundur" di bawah kepimpinan tujuh tahun Bihi, dengan menyenaraikan "konflik, inflasi dan kelaparan" sebagai masalah utama.

Pengkritik menuduh Bihi, seorang bekas tentera yang mengetuai perjuangan untuk kemerdekaan, mengamalkan pemerintahan akuku besi yang menyebabkan perpecahan puak dan kehilangan wilayah Sool pada tahun 2023 selepas pertempuran dengan pasukan pro-Mogadishu.

Protes besar-besaran juga tercetus dengan ganas oleh kerajaan selepas Bihi menangguhkan pilihan raya selama dua tahun pada 2022 atas alasan masalah teknikal dan kewangan.

Pesaing utama Bihi ialah Abdirahman Mohamed Abdullahi atau lebih dikenali sebagai "Irro," dari parti Waddani.

Bekas duta Somalia ke Kesatuan Soviet dan Finland, serta bekas pengerusi parlimen Somaliland, Irro, yang berusia 68 tahun, tidak menawarkan banyak perubahan dasar tetapi berjanji menjadi figura yang lebih menyatukan.

“Tidak banyak perbezaan ideologi yang jelas antara dua parti politik utama.

"Namun, terdapat perbezaan antara personaliti para calon, dan ini sangat penting di Somaliland,” kata Jama.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD