MADRID, 13 November-Puluhan Sekolah di bandar-bandar yang dilanda banjir di timur Sepanyol akan ditutup pada Rabu ketika kawasan itu bersiap sedia menghadapi hujan lebat berterusan kata pegawai tempatan.
Pejabat cuaca kebangsaan, AEMET, pada Selasa meletakkan sebahagian kawasan Valencia, Catalonia dan Andalusia di selatan dan Kepulauan Balearic, pada amaran oren iaitu tahap kedua tertinggi untuk hujan lebat atau ribut hingga Khamis.
Amaran berkenaan dikeluarkan dua minggu selepas ribut Mediterranean luar biasa yang menyebabkan banjir paling dahsyat di Sepanyol dalam beberapa dekad.
Ribut pada 29 Oktober itu meragut 223 nyawa, kebanyakannya di Valencia, menurut laporan rasmi terkini.
Puluhan majlis perbandaran di Valencia, termasuk Chiva, salah satu kawasan paling teruk terjejas, telah menggantung sesi persekolahan dan menutup gimnasium awam akibat ancaman hujan lebat yang lebih kerap.
“Berdasarkan maklumat yang disediakan oleh perkhidmatan kecemasan, aktiviti sekolah dan sukan akan digantung mulai esok sehingga diberitahu kelak,” kata majlis perbandaran Chiva di platform X.
Sebuah kenderaan tentera dilihat melalui bandar-bandar di Valencia dan menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran tentang ribut yang dijangka melanda kawasan tersebut.
Mereka menggesa orang ramai agar tidak membuat "perjalanan yang tidak perlu", seperti yang disiarkan di televisyen awam Sepanyol, TVE.
Walaupun jumlah hujan yang diramalkan di Valencia adalah kurang daripada dua minggu lalu, pegawai tempatan memberi amaran bahawa sistem pembetungan yang tersumbat dengan lumpur mungkin sukar untuk menampung hujan yang lebat, sekali gus memungkinkan lebih banyak kejadian banjir.
Kemarahan terhadap pihak berkuasa kerana didakwa gagal menguruskan keadaan sebelum dan selepas banjir mencetuskan protes besar-besaran pada Sabtu, dengan protes terbesar di bandar Valencia yang berjaya menarik seramai 130,000 orang.
Kelas turut digantung pada Rabu di beberapa bahagian selatan Catalonia serta beberapa bandar termasuk Malaga.-AFP