fb fb fb fb fb

Xi Jinping, Mark Carney adakan perbincangan rasmi pertama sejak 2017

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Presiden China, Xi Jinping/AFP

GYEONGJU, 31 Oktober – Presiden China, Xi Jinping menjemput Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk melakukan lawatan rasmi ke China ketika kedua-dua pemimpin itu memulakan pertemuan rasmi pertama sejak 2017.

“Kami mengalu-alukan kedatangan anda ke China sekali lagi sebagai perdana menteri Kanada,” kata Xi dalam sesi rundingan sempena Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan, menurut rakaman audio yang diperoleh media.

Menjawab pelawaan itu, Carney berkata beliau berhasrat untuk melawat China dalam masa terdekat bagi meneruskan rundingan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Saya amat menantikan dialog yang membina dan pragmatik untuk membantu membentuk sistem antarabangsa yang lebih mampan serta inklusif,” katanya.

Hubungan Beijing dengan Ottawa sebelum ini tegang susulan beberapa isu diplomatik dan perdagangan, termasuk penahanan eksekutif kanan syarikat telekomunikasi China di Vancouver pada 2018 yang membawa kepada tindakan balas Beijing menahan dua warga Kanada atas tuduhan pengintipan.

Ketegangan kembali meningkat tahun ini selepas Carney mengumumkan tarif tambahan 25 peratus ke atas import keluli yang dihasilkan di China.

Sebagai tindak balas, China mengenakan duti kastam sementara sebanyak 75.8 peratus terhadap import kanola dari Kanada.

Kanada merupakan antara pengeluar utama kanola dunia yang digunakan dalam pembuatan minyak masak, makanan haiwan dan bahan api biodiesel.

Kedua-dua negara kini turut terkesan dengan perang tarif global yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Walaupun Trump dan Xi mencapai persetujuan awal semalam untuk mengurangkan ketegangan, tarif purata AS terhadap barangan China kekal tinggi pada kadar 47 peratus.

Trump turut mengumumkan akan menaikkan tarif tambahan 10 peratus ke atas barangan Kanada serta menamatkan rundingan perdagangan dengan negara itu, selepas menuduh kempen anti-tarif yang dijalankan di Kanada sebagai “palsu”. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI