BANGKOK, 31 Oktober – Bekas timbalan menteri kewangan Thailand, Julapun Amornvivat dipilih sebagai pemimpin baharu parti politik terbesar, Pheu Thai.
Pelantikan dibuat susulan Paetongtarn Shinawatra 39, melepaskan jawatan ketua parti selepas mahkamah menyingkirkannya sebagai perdana menteri pada Ogos lalu berhubung pelanggaran etika berkaitan pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Pemerhati politik berpendapat, langkah tersebut merupakan strategi untuk melindungi Pheu Thai daripada kemungkinan tindakan undang-undang, sekali gus menandakan berakhirnya dominasi keluarga Shinawatra dalam politik Thailand yang telah bertahan selama beberapa dekad.
Menerusi siaran langsung di laman Facebook rasmi parti itu, ahli Pheu Thai sebulat suara memilih Julapun, sebagai ketua baharu parti.
“Saya berasa amat berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua ahli parti,” kata ahli parlimen dari wilayah Chiang Mai yang menjadi kubu kuat Pheu Thai.
Julapun, 50, merupakan anak kepada ahli politik veteran Sompong Amornvivat, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan mengetuai Pheu Thai pada 2019.
Beliau antara individu yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan dasar utama parti menjelang pilihan raya 2023, termasuk cadangan pemberian bantuan tunai 10,000 baht (sekitar RM1,400) serta pengesahan undang-undang kasino.
Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan sesiapa sahaja yang memimpin Pheu Thai akan terus berada bawah pengaruh Thaksin dan keluarga politiknya.
Thaksin Shinawatra, yang menubuhkan parti asal Pheu Thai pada akhir 1990-an, digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 dan hidup dalam buangan selama lebih sedekad sebelum pulang ke Thailand.
Beliau yang kini berusia 76 tahun sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah ketika memegang jawatan perdana menteri. - AFP