fb fb fb fb fb

Wisma Putra pantau rapi 8 pelajar Malaysia cedera dalam kemalangan di Mesir

Pegawai Education Malaysia Egypt (EME) segera melawat pelajar-pelajar terbabit di Hospital As Salam Port Said

KUALA LUMPUR, 26 Januari - Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang memantau rapi keadaan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa pegawai Education Malaysia Egypt (EME)  segera melawat pelajar-pelajar terbabit di Hospital As Salam Port Said bagi memberikan bantuan dan memastikan keadaan mereka stabil.

"Lima daripada pelajar mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala tiga lagi yang berada dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan terus memantau perkembangan insiden ini dan menyediakan sokongan penuh bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar terbabit terjaga,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Bagi bantuan konsular, pihak terlibat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di 10, Street 261, Maadi, Kaherah, Mesir.

Selain itu, kedutaan boleh dihubungi melalui talian +20 225174210 dan kecemasan (selepas waktu pejabat) di +201 200276388 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

“Kementerian akan terus menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu, Education Malaysia Egypt menerusi hantaran di Facebook memaklumkan lapan orang pelajar Malaysia terlibat dengan kemalangan yang berlaku sekitar pukul 12 tengah hari, Sabtu.

Lima pelajar itu ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Selain itu, tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN