fb fb fb fb fb

TikTok: Trump bincang pembelian dengan pelbagai pihak

Foto REUTERS

WASHINGTON, 26 Januari-Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau sedang berbincang dengan pelbagai pihak mengenai pembelian TikTok dan dijangka membuat keputusan berhubung masa depan aplikasi popular itu dalam tempoh 30 hari.

"Saya telah bercakap dengan ramai pihak mengenai TikTok, dan terdapat minat yang besar terhadap TikTok," kata Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One dalam penerbangan ke Florida.

Terdahulu, Reuters melaporkan bahawa dua individu yang mengetahui perbincangan itu berkata pentadbiran Trump sedang mengusahakan rancangan untuk menyelamatkan TikTok, termasuk melibatkan syarikat perisian Oracle (ORCL.N) dan kumpulan pelabur luar untuk mengambil alih kawalan operasi aplikasi itu.

Di bawah perjanjian yang sedang dirundingkan oleh White House, pemilik TikTok yang berpangkalan di China, ByteDance, akan mengekalkan sebahagian saham dalam syarikat itu, tetapi pengumpulan data dan kemas kini perisian akan diselia oleh Oracle, yang sudah menyediakan asas infrastruktur sesawang TikTok, menurut salah seorang sumber kepada Reuters.

Namun, dalam kenyataan kepada wartawan, Trump berkata beliau belum mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Oracle Corporation,Larry Ellison mengenai pembelian aplikasi tersebut.

Apabila ditanya sama ada beliau sedang menyusun perjanjian dengan Oracle dan pelabur lain untuk menyelamatkan TikTok, Trump menafikannya.

"Tidak, bukan dengan Oracle. Ramai individu lain yang bercakap dengan saya, individu yang sangat penting, mengenai pembelian ini dan saya mungkin akan membuat keputusan dalam tempoh 30 hari.

"Kongres telah memberikan masa 90 hari. Jika kita boleh menyelamatkan TikTok, saya fikir ia satu perkara yang baik", tambahnya.

Sumber itu turut menyatakan bahawa terma perjanjian dengan Oracle masih dalam proses perbincangan dan mungkin berubah.

Salah satu sumber berkata perbincangan itu mungkin melibatkan operasi TikTok di AS dan juga wilayah lain.

Di bawah terma perjanjian, Oracle akan bertanggungjawab untuk menangani isu keselamatan nasional.

TikTok pada mulanya menandatangani perjanjian dengan Oracle pada tahun 2022 untuk menyimpan maklumat pengguna AS bagi meredakan kebimbangan Washington mengenai campur tangan kerajaan China.

Pengurusan TikTok akan kekal untuk mengendalikan aplikasi video pendek itu, menurut salah satu sumber.

Aplikasi yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika itu dihentikan sementara pada 19 Januari, sebelum undang-undang yang mengarahkan ByteDance menjual TikTok atas alasan keselamatan nasional dikuatkuasakan.

Selepas mengambil alih jawatan presiden sehari kemudian, Trump kemudiannya menandatangani perintah eksekutif untuk menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut selama 75 hari.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD