(Paxlovid/REUTERS)
GENEVA, 22 April - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengesyorkan penggunaan pil antiviral COVID-19, Paxlovid keluaran Pfizer untuk pesakit bergejala ringan.
Syor itu dibuat berdasarkan hasil dua ujian melibatkan hampir 3,100 pesakit yang menunjukkan Paxlovid mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 85 peratus.
Barisan pakar WHO menerusi Jurnal Perubatan BMJ menyebut, Paxlovid adalah pilihan utama bagi golongan yang tidak divaksinasi, warga emas atau golongan memiliki sistem imun yang lemah.
(Foto fail)
Bagi golongan sama, WHO membuat syor bersyarat penggunaan ubat antiviral, Remdesivir buatan firma biotek, Gilead yang sebelum ini ditolak.
Paxlovid juga didapati lebih berkesan daripada pil Molnupiravir keluaran Merck-N-Co serta rawatan antibodi monoklonal yang dibangunkan Regeneron dan Eli Lilly. -AFP
"Rawatan oral Pfizer menghalang kemasukan ke hospital lebih daripada alternatif yang tersedia dan lebih mudah untuk diberikan daripada Remdesivir dan antibodi intravena," kata pakar WHO.
Syor terpakai kepada individu berumur 18 tahun ke atas, tetapi tidak kepada wanita hamil atau ibu yang menyusu badan.
Ia juga tidak terpakai kepada pesakit yang mempunyai risiko komplikasi yang rendah kerana faedahnya adalah minimum. -AFP