fb fb fb fb fb

Kereta bawa pendatang terbabas di Bulgaria, enam terkorban

FOTO REUTERS

BURGAS, 7 November - Enam pendatang maut manakala empat lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis berhampiran bandar Burgas, di pesisir Laut Hitam, Bulgaria.

Menurut laporan Agensi Berita Bulgaria (BTA), kejadian berlaku pada Khamis malam apabila kereta jenis Skoda berdaftar di Romania yang membawa 10 individu enggan berhenti untuk pemeriksaan polis dan cuba melarikan diri.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sempadan, Anton Zlatanov berkata, kesemua enam mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu warga Romania serta tiga pendatang lain yang terselamat menerima rawatan awal.

BTA melaporkan, mangsa yang terselamat dipercayai berasal dari Afghanistan.

Sejak 2015, negara-negara Balkan menjadi laluan utama bagi pelarian dan pendatang dari Timur Tengah, Afghanistan, Asia dan Afrika yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan menuju ke Kesatuan Eropah, dengan ramai menggunakan rangkaian penyeludupan manusia.

Pihak berkuasa Romania setakat ini belum mengesahkan laporan berhubung nahas maut tersebut.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE