fb fb fb fb fb

Polis Sepanyol tumpaskan geng Tren de Aragua, 13 ditahan

FOTO REUTERS

MADRID, 7 November - Polis Sepanyol menahan 13 individu dipercayai anggota kumpulan jenayah Tren de Aragua dari Venezuela, selepas melancarkan serbuan di lima bandar utama negara itu.

Menurut kenyataan polis, penahanan dibuat di Barcelona, Madrid, Girona, A Coruna dan Valencia, hasil siasatan terhadap usaha kumpulan tersebut mengembangkan kegiatan jenayahnya ke Sepanyol.

Tren de Aragua, yang pada asalnya ditubuhkan dalam penjara Venezuela, kini berkembang menjadi antara rangkaian jenayah rentas sempadan paling ganas di Amerika Latin, terlibat dalam penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pemerasan.

Amerika Syarikat sebelum ini mengisytiharkan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas global susulan pengaruhnya yang melangkaui rantau berkenaan.

Dalam operasi terbaharu itu, pihak berkuasa turut merampas dadah sintetik, kokain, ladang ganja serta dua makmal yang menghasilkan 'pink cocaine', bahan terlarang yang sering dikaitkan dengan aktiviti kumpulan tersebut.

Serbuan itu susulan penahanan abang kepada ketua kumpulan berkenaan di Barcelona pada 2024, yang dituduh cuba memperluas jaringan Tren de Aragua di Sepanyol.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE