fb fb fb fb fb

Kos meningkat akibat tarif AS, keuntungan IKEA merosot

FOTO REUTERS

STOCKHOLM, 7 November - Syarikat pembekal perabot global, Inter IKEA, memaklumkan keuntungan operasi tahunannya susut sebanyak 26 peratus berikutan peningkatan kos akibat kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan syarikat itu pada Jumaat, keuntungan operasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos lalu mencatatkan sebanyak 1.7 bilion euro, berbanding 2.3 bilion euro tahun sebelumnya. Pendapatan pula menurun kepada 26.3 bilion euro daripada 26.5 bilion euro selepas pelarasan harga dilakukan.

Inter IKEA menjelaskan, harga komoditi dan kos logistik meningkat pada separuh kedua tahun kewangan disebabkan ketidaktentuan selepas pengumuman tarif baharu oleh AS.

Secara keseluruhan, jualan daripada rangkaian kedai IKEA di 63 pasaran seluruh dunia turut menurun bagi tahun kedua berturut-turut kepada 44.6 bilion euro, susulan usaha syarikat menurunkan harga bagi menarik semula pelanggan.

Meskipun harga keseluruhan diturunkan, tarif lebih tinggi di pasaran AS memaksa IKEA menaikkan harga bagi beberapa produk yang diimport dari kilang di Eropah dan China.

Namun begitu, jualan borong Inter IKEA meningkat sekitar enam peratus berbanding tahun sebelumnya apabila pengguna menunjukkan tindak balas positif terhadap potongan harga yang ditawarkan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE