ABU DHABI, 7 November - Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersiap sedia meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi laluan laut dari Cyprus, yang disifatkan sebagai saluran penting selain akses darat dan udara.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Politik UAE, Lana Nusseibeh berkata, laluan itu menjadi talian hayat utama bagi penduduk Gaza yang terjejas akibat perang selama dua tahun.
“Laluan ini berperanan penting dalam memastikan bantuan sampai kepada orang awam di Gaza. Ketika pelan ini diteruskan, akses melalui darat, udara dan laut kekal kritikal,” katanya kepada media.
UAE bekerjasama dengan Cyprus dalam menyalurkan sejumlah besar bantuan ke wilayah Palestin itu yang masih bergelut akibat konflik berkepanjangan.
Israel dan kumpulan Hamas sebelum ini mencapai persetujuan fasa pertama daripada pelan 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan perang dua tahun di Gaza yang tercetus selepas serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Bagaimanapun, agensi kemanusiaan memaklumkan bantuan yang diterima Gaza masih jauh daripada mencukupi.
Setakat ini, kira-kira 22,000 tan bantuan yang telah disaring lebih awal dihantar dari Cyprus di bawah inisiatif Amalthea yang dilancarkan tahun lalu. Sebahagian bantuan itu tiba terus ke Gaza melalui jeti sementara yang dibina oleh pentadbiran AS, manakala selebihnya dihantar ke pelabuhan Ashdod di Israel.-REUTERS