DURBAN, 8 November – Ratusan penunjuk perasaan memenuhi jalan utama di pusat bandar Durban, menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pendatang tanpa izin serta memperketat kawalan terhadap aktiviti pengedaran dadah dan rasuah polis.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh gerakan March for March dan disertai kumpulan Operation Dudula KZN, dengan peserta berarak dari Taman King Dinuzulu menuju ke kawasan pusat bandar yang sesak.
Mereka membawa sepanduk serta melaungkan slogan mendesak kerajaan memperketat kawalan sempadan dan memastikan akauntabiliti pasukan penguat kuasa.
Jurucakap Operation Dudula KZN, Sfiso Manyala berkata kumpulannya menuntut campur tangan segera polis berhubung peningkatan bilangan pendatang tanpa izin di bandar itu.
“Sebagai rakyat Afrika Selatan, kita tidak boleh berdiam diri apabila bandar kita seolah-olah dikuasai pendatang tanpa izin,” katanya.
Sementara itu, pemimpin March for March, Jacinta Zuma, ketika berucap di hadapan sebuah balai polis, menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan negara.
“Sudah tiba masanya rakyat Afrika Selatan memimpin diri sendiri. Kami bersedia,” katanya.
Polis dilaporkan memantau perhimpunan berkenaan dan berjaya mengawal keadaan selepas peserta cuba menceroboh sebuah bangunan.
Tiada insiden besar dilaporkan sepanjang demonstrasi berlangsung. -REUTERS