VIRGINIA, 8 November – Para penumpang di Lapangan Terbang Nasional Reagan, Washington melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pembatalan penerbangan berikutan penutupan kerajaan Amerika Syarikat yang berlarutan, menyebabkan kekurangan pengawal trafik udara di seluruh negara.
Kebimbangan itu timbul selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan pengurangan jadual penerbangan di beberapa lapangan terbang utama pada Khamis.
Ia susulan kekangan tenaga kerja akibat penutupan kerajaan yang kini mencatat tempoh paling lama dalam sejarah negara itu.
Syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat dilaporkan bertungkus lumus menyusun semula jadual penerbangan dan menangani panggilan daripada pelanggan yang bimbang mengenai perubahan saat akhir.
Langkah itu dijangka menjejaskan ratusan ribu penumpang di seluruh negara dengan sedikit atau tanpa notis lebih awal.
Seorang bekas pekerja kerajaan persekutuan, Michael Timinston berkata situasi itu menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan penumpang.
“Saya bangun pagi ini tanpa mengetahui sama ada saya boleh menaiki penerbangan ke California atau tidak. Tiada siapa mahu terperangkap dalam keadaan begini,” katanya. -REUTERS