NEW YORK, 8 November – Ahli biologi Amerika Syarikat dan penerima Hadiah Nobel, James D. Watson yang terkenal sebagai salah seorang penemu struktur dwi-heliks DNA, meninggal dunia pada usia 97 tahun.
Makmal Cold Spring Harbor Laboratory di Long Island, tempat beliau berkhidmat sepanjang kerjayanya mengesahkan kematian Watson pada Khamis di sebuah pusat jagaan hospis di New York.
Watson mencatat sejarah dalam dunia sains apabila bersama Francis Crick, menemui struktur DNA pada tahun 1953 iaitu penemuan yang mengubah bidang biologi moden dan membuka jalan kepada kemajuan besar dalam genetik, perubatan dan forensik.
Atas kejayaan itu, Watson berkongsi Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan 1962 bersama Crick dan Maurice Wilkins.
Penemuan mereka menjadi asas kepada pemahaman tentang kod genetik dan sintesis protein, serta membawa kepada kemunculan teknologi seperti ujian DNA forensik dan pengubahsuaian genetik tumbuhan.
Watson yang ketika itu berusia hanya 25 tahun, turut memainkan peranan penting dalam penyelidikan kanser dan pemetaan genom manusia.
Kisah penemuan tersebut diabadikan dalam memoirnya tahun 1968, The Double Helix, yang menjadi buku terlaris dan dikenali kerana penceritaan jujur tentang persaingan sengit dalam dunia penyelidikan saintifik.
Namun, reputasinya tercemar apabila beliau beberapa kali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman termasuk memperkecilkan sumbangan Rosalind Franklin, saintis yang membantu menjana imej sinar-X penting dalam penemuan struktur DNA.
Pada tahun 2007, Watson menimbulkan kecaman meluas selepas mendakwa bahawa ujian kecerdasan menunjukkan perbezaan antara kaum Afrika dan bangsa lain.
Walaupun beliau memohon maaf, Watson digugurkan daripada jawatan Canselor Cold Spring Harbor Laboratory, sekali gus menamatkan kerjayanya dalam komuniti saintifik arus perdana. -AFP