MOSCOW, 22 April- Enam orang maut apabila institut penyelidikan ketenteraan Rusia yang terlibat dalam membangunkan sistem pertahanan udara di bandar barat laut Tver, terbakar pada Khamis.
Televisyen Rusia menunjukkan asap hitam tebal dari dalam bangunan kuning empat tingkat Institut Penyelidikan Pusat Angkatan Udara dan Angkasa Rusia.
Beberapa pekerja institut itu terpaksa melompat keluar dari tingkap tingkat atas untuk menyelamatkan diri daripada api.
Kerajaan wilayah Tver berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media kerajaan bahawa enam orang terbunuh dan 21 cedera dalam kebakaran itu.
Maklumat awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada pendawaian elektrik yang rosak, kata agensi berita negeri TASS.
Kementerian pertahanan berkata institut itu memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan pertahanan udara dan angkasa lepas Rusia, serta pembangunan sistem anti-pesawat baharu.
Kebakaran yang tidak disengajakan adalah perkara biasa di Rusia, menyaksikan ratusan kebakaran direkodkan setiap tahun membabitkan bangunan tua dan usang.- AFP
(Asap hitam tebal kelihatan dari dalam bangunan kuning empat tingkat Institut Penyelidikan Pusat Angkatan Udara dan Angkasa Rusia. / Foto Twitter)