fb fb fb fb fb

Kadar inflasi cecah tertinggi, ekonomi Sri Lanka semakin serius

(FOTO AFP)

COLOMBO, 22 April- Sri Lanka yang dilanda krisis ekonomi merekodkan kadar inflasi tertinggi untuk tempoh enam bulan berturut-turut, data rasmi yang dikeluarkan ketika kerajaan berusaha memohon bantuan kewangan atau penyelamatan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 21.5 peratus dari tahun ke tahun pada Mac, lebih empat kali ganda kadar inflasi 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan data Jabatan Banci dan Perangkaan Nasional, inflasi makanan pada Mac telah mencecah 29.5%.

Nilai itu dijangka terus meningkat manakala syarikat minyak milik kerajaan telah menaikkan harga diesel yang biasanya digunakan dalam pengangkutan awam, sebanyak 64.2%.

Krisis ekonomi yang semakin serius telah mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Rakyat menuntut Presiden, Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan kerana salah tadbir urus dan terlibat rasuah.

“Sri Lanka telah memohon Tabung Kewangan Antarabangsa untuk bantuan kecemasan, tetapi diberitahu bahawa hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion negara Asia Selatan itu "tidak mampan" dan mesti "disusun semula" sebelum sebarang bantuan berikutnya.

“Apabila IMF menentukan bahawa hutang negara tidak mampan, negara tersebut perlu ambil langkah untuk memulihkan kemampanan hutang sebelum IMF beri pinjaman," kata Pengarah Dana, Masahiro Nozaki dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Kelulusan program bantuan IMF untuk Sri Lanka memerlukan jaminan meyakinkan bahawa kemampanan hutang akan dipulihkan,” tambahnya.


(Seorang aktivis pembangkang, Janatha Vimukthi Peramuna dan penyokognnya
mengadakan protes di Rambukkana pada 20 April 2022/AFP)

Sementara itu, Selasa lalu berlaku pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan di tengah Sri Lanka menyebabkan seorang terbunuh dan hampir 30 lagi cedera.

Enam minggu lalu, sekurang-kurangnya lapan orang mati ketika berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan bahan api.

Selain itu kekurangan pertukaran mata wang asing negara turut membawak kepada kelembapan import, termasuk barangan keperluan.

Kedai-kedai juga mula membuat catuan barangan termasuk beras, susu tepung, gula, kacang dan ikan dalam tin yang dijual kepada pengguna.

Ekonomi Sri Lanka mula merosot sejak pandemik COVID-19 melanda dunia apabila berlaku pengurangan pendapatan pelancongan serta kiriman wang pekerja asing. -AFP

Media Baharu