KIEV, 22 April - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Rusia merancang untuk "memalsukan" referendum kemerdekaan di wilayah selatan Kherson dan Zaporizhzhia yang sebahagiannya diduduki.
Dalam mesej video, Zelensky menggesa penduduk kawasan yang diduduki supaya tidak memberi sebarang maklumat peribadi seperti nombor pasport mereka, kepada tentera Rusia.
"Ini bukan untuk membantu anda. Ini bertujuan untuk memalsukan referendum di tanah anda, jika arahan datang daripada Moscow untuk mengadakan lakonan seperti itu," kata pemimpin Ukraine itu.
"Inilah realitinya. Hati-hati."
(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/AFP)
Kiev pada awal Mac menuduh Moscow merancang pungutan suara di Kherson, serupa dengan tinjauan pendapat di Crimea pada 2014, yang menunjukkan sebilangan besar penduduk mengundi untuk menyertai Persekutuan Rusia.
Undian itu yang diadakan selepas Rusia mengambil alih wilayah berkenaan, ditolak sebagai tidak sah oleh kerajaan Ukraine dan sekutu baratnya.
Wilayah timur Donetsk dan Lugansk yang pro-Rusia juga mengisytiharkan kemerdekaan susulan referendum yang dikecam sebagai tidak sah oleh masyarakat antarabangsa. -AFP