fb fb fb fb fb

Kerosakan fizikal di Ukraine dianggar cecah AS$60 bilion

(Keadaan kediaman yang rosak di bandar pelabuhan selatan Mariupol,Ukraine/REUTERS)

WASHINGTON, 21 April - Kerosakan fizikal kepada bangunan dan infrastruktur di Ukraine ekoran pencerobohan tentera Rusia dianggarkan mencecah AS$60 bilion.

Nilai kerosakan dijangka terus meningkat, sekiranya perang masih berlarutan.

(Presiden Bank Dunia, David Malpass/AFP)

Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata kerugian yang dialami itu tidak termasuk kos ekonomi.

"Sudah pasti perang masih berterusan, jadi kos itu meningkat," katanya dalam persidangan Bank Dunia mengenai bantuan kewangan kepada Ukraine.

Dalam ucapan kepada persidangan maya itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menggariskan kos dan keperluan pembiayaan yang jauh lebih besar.

Beliau memberitahu Ukraine memerlukan AS$7 bilion sebulan untuk menampung kerugian ekonomi disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas negaranya.

"Dan kami memerlukan ratusan bilion dolar untuk membina semula semua ini kemudian," kata Zelenskiy.

Beliau berkata, masyarakat global perlu mengecualikan Rusia serta-merta daripada institusi kewangan antarabangsa, termasuk Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa dan lain-lain.

Katanya, semua negara mesti segera bersedia untuk memutuskan semua hubungan dengan Rusia.

Zelenskiy menggesa negara yang telah mengenakan sekatan dan membekukan aset Rusia untuk menggunakan wang itu bagi membantu membina semula Ukraine selepas perang dan membayar kerugian yang dialami oleh negara lain.-REUTERS

Media Baharu