MOSCOW, 8 November - Lima orang maut manakala dua lagi cedera apabila sebuah helikopter persendirian terhempas di wilayah Dagestan, selatan Rusia pada Jumaat, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan wilayah itu, empat mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang daripada tiga yang dibawa ke hospital meninggal dunia akibat kecederaan.
Ketua Republik Dagestan, Sergei Melikov mengesahkan terdapat tujuh individu di dalam helikopter terbabit dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa helikopter jenis Ka-226 itu terbakar sejurus terhempas dan musnah sepenuhnya.
Perkhidmatan kecemasan wilayah memaklumkan, kebakaran enjin ketika penerbangan sedang disiasat sebagai punca utama kejadian.
Menurut kenyataan Direktorat Utama Kementerian Kecemasan Rusia bagi Dagestan, helikopter berkenaan yang dalam perjalanan dari Kizlyar ke Izberbash, terhempas di sebuah rumah tidak berpenghuni.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan operasi melibatkan 17 jentera dan 51 anggota penyelamat.
Siasatan jenayah dibuka berhubung pelanggaran keselamatan yang mengakibatkan banyak kematian.
-- BERNAMA-XINHUA