NEW YORK, 8 November - Peneroka haram Israel telah melancarkan sekurang-kurangnya 264 serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sepanjang Oktober.
Jumlah tersebut menunjukkan rekod bulanan tertinggi sejak pegawai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mula merekodkan insiden sedemikian pada 2006.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata serangan tersebut menyebabkan kemalangan dan kerosakan harta benda, dengan purata lapan insiden setiap hari.
“Sejak 2006, OCHA telah merekod lebih 9,600 serangan sebegini. Kira-kira 1,500 daripadanya berlaku tahun ini sahaja, iaitu lebih kurang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan,” menurut kenyataan PBB itu.
Tebing Barat menempatkan 2.7 juta rakyat Palestin dan telah lama menjadi kawasan untuk rancangan penubuhan negara Palestin di samping Israel. Namun, Israel bertindak rakus memperluas penempatan dengan pantas, memecah belahkan tanah tersebut.
OCHA juga memaklumkan sehingga Rabu, 42 kanak-kanak Palestin telah terbunuh oleh pasukan Israel di Tebing Barat tahun ini.
“Itu bermakna satu daripada setiap lima rakyat Palestin yang terbunuh oleh pasukan Israel di Tebing Barat pada 2025 adalah kanak-kanak,” kata OCHA.
Misi Israel ke PBB belum memberi sebarang maklum balas mengenai kenyataan tersebut.-REUTERS