fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 penerbangan di AS dibatalkan, arahan pengurangan operasi

Foto AFP

WASHINGTON, 8 November – Lebih 1,000 penerbangan di seluruh AS dibatalkan susulan arahan pengurangan operasi bagi mengurangkan tekanan pengawal trafik udara yang bekerja tanpa gaji akibat penutupan kerajaan persekutuan.

Sebanyak 40 lapangan terbang dijadualkan terlibat dalam langkah pengurangan itu, termasuk hab utama di Atlanta, Newark, Denver, Chicago, Houston dan Los Angeles.

Langkah pengurangan penerbangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan 4 peratus dan dijangka meningkat kepada 10 peratus minggu hadapan sekiranya Kongres masih gagal mencapai persetujuan mengenai peruntukan dana.

Menurut laman pengesanan penerbangan FlightAware, lebih 1,000 penerbangan yang dijadualkan pada Jumaat telah dibatalkan.

Lapangan terbang paling terjejas lewat Jumaat ialah Reagan National di Washington, Denver International dan Hartsfield-Jackson di Atlanta, berdasarkan data yang dianalisis oleh AFP.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan penumpang di Reagan National berdepan kelewatan purata empat jam, manakala kelewatan di Phoenix mencecah 90 minit dan kira-kira satu jam di Chicago serta San Francisco.

Penutupan kerajaan sejak 1 Oktober berpunca daripada pertikaian antara Republikan dan Demokrat mengenai subsidi insurans kesihatan, menyebabkan ramai kakitangan kerajaan terpaksa bekerja tanpa gaji atau bercuti tanpa bayaran.

Ramai kakitangan kerajaan, termasuk petugas penting di lapangan terbang, kini sama ada bekerja tanpa gaji atau diarahkan bercuti sementara menunggu krisis hampir enam minggu itu berakhir.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, menyalahkan Demokrat atas krisis itu, manakala Trump menggesa ahli Senat kekal di Washington sehingga perjanjian dicapai.

“Jika Demokrat pulang bercuti hujung minggu ini dan masih mengekalkan kerajaan dalam keadaan tertutup, itu sesuatu yang memalukan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Reagan National.

Sementara itu, dalam satu hantaran di platform Truth Social, Presiden Donald Trump turut menggesa ahli Senat agar kekal berada di Washington sehingga perjanjian dicapai untuk menamatkan penutupan kerajaan.

Parti Republikan yang menguasai Kongres berdepan tentangan daripada Demokrat yang enggan meluluskan pelan bajet termasuk cadangan pemotongan besar terhadap sektor penjagaan kesihatan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN