fb fb fb fb fb

WHO suara kebimbangan terhadap nasib Ketua Hospital Al-Shifa yang ditahan Israel

FOTO REUTERS

GENEVA, 25 November- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib Ketua Hospital Al-Shifa di Gaza, yang ditahan tentera Israel berhubung dakwaan kemudahan digunakan oleh Hamas.

Dalam satu kenyataan WHO berkata bahawa ketua hospital terbesar di wilayah Palestin yang terkepung telah ditangkap pada Rabu bersama lima pekerja kesihatan lain, ketika mereka mengambil bahagian dalam misi PBB untuk memindahkan pesakit.

“Tiga kakitangan perubatan dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan tiga daripada Kementerian Kesihatan telah ditahan,” kata WHO.

"Sejak itu dua daripada enam dilaporkan telah dibebaskan, tetapi kami tidak mempunyai maklumat tentang empat kakitangan kesihatan yang tinggal, termasuk pengarah hospital Al-Shifa," tambah kenyataan itu.

Agensi PBB menggesa hak undang-undang dan asasi manusia mereka dipatuhi sepenuhnya semasa penahanan mereka.

Pengarah hospital, Mohammad Abu Salmiya sering dipetik media antarabangsa mengenai keadaan di dalam Hospital Al-Shifa, dan menjadi tumpuan utama serangan darat Israel berikutan serangan pada 7 Oktober.

Tentera Israel, yang menyerbu hospital minggu lalu, telah mendakwa bahawa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan di Gaza City untuk melancarkan serangan.

Hamas dan pegawai hospital telah berulang kali menafikan dakwaan itu.

Pada Khamis tentera Israel mengumumkan telah menangkap ketua hospital itu, bersama seorang ketua jabatan.

Menurut kenyataan WHO, organisasi itu telah menjalankan tiga misi ke Hospital Al-Shifa dalam tempoh seminggu, sekali gus berjaya memindahkan 31 bayi dari hospital.

Semasa misi ketiga, pada Rabu, yang dijalankan dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Palestin, seramai 151 orang telah dipindahkan, termasuk pesakit, saudara-mara mereka dan pekerja penjagaan kesihatan, menurut WHO. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI