(FOTO REUTERS)
GENEVA, 27 Januari - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat kaitan antara pengilang ubat batuk sirap tercemar dengan kematian lebih 300 kanak-kanak di Indonesia, Gambia dan Uzbekistan.
Pertubuhan itu kini mengumpul lebih banyak maklumat mengenai bahan mentah khusus yang digunakan oleh enam pengilang di India dan Indonesia yang dikenal pasti menghasilkan ubat berkenaan.
WHO bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pembekal yang terbabit.
Pihaknya turut sedang mempertimbangkan sama ada mahu mengeluarkan nasihat kepada keluarga di seluruh dunia agar tidak menggunakan ubat batuk sirap untuk kanak-kanak buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan mereka.
Kematian kanak-kanak akibat kecederaan akut buah pinggang bermula pada Julai 2022 di Gambia, diikuti dengan Indonesia dan Uzbekistan.
(Foto AFP)
Sekitar Oktober lalu dan awal bulan ini, WHO menghantar amaran membabitkan beberapa produk khusus dan meminta ia dikeluarkan dari rak penjualan.
Antaranya ubat batuk buatan Maiden Pharmaceuticals dan Marion Biotech.
Amaran turut dikeluarkan untuk ubat batuk dari empat pengeluar Indonesia iaitu PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical, PT Konimex dan PT AFI Pharma yang dijual di dalam negara itu.
Sirap ubat batuk itu mengandungi toksin yang diketahui seperti 'diethylene glycol' atau 'ethylene glycol'.
WHO berkata kematian itu dikaitkan dengan ubat batuk yang dijual di kedai tanpa memerlukan preskripsi atau lesen. -AFP