fb fb fb fb fb

WHO rayu AS$392 juta bantu sektor kesihatan di Yaman

(Foto AFP)

Dubai, 26 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merayu AS$392 juta bagi mengelakkan sektor kesihatan di Yaman yang dilanda perang, lumpuh.

Seruan itu dibuat menjelangnya Persidangan Penderma yang diketuai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Menurut WHO, hampir sebahagian daripada semua kemudahan kesihatan di Yaman tidak berfungsi sepenuhnya disebabkan kekurangan kakitangan, dana, elektrik, ubat-ubatan, bekalan dan peralatan.

"Yaman memerlukan sokongan segera dan teguh... untuk mengelak potensi keruntuhan sistem kesihatannya," kata wakil agensi Yaman, Adham Abdel Moneim Ismail.


(Foto hiasan)

Adham dalam satu kenyataan berkata pembiayaan itu diperlukan bagi memastikan kemudahan kesihatan dapat meneruskan perkhidmatan kepada 12.9 juta orang.

Beliau berkata mereka yang memerlukan bantuan termasuk 540,000 kanak-kanak bawah lima tahun yang menghadapi kekurangan zat makanan akut yang teruk dengan risiko langsung kematian.

Rayuannya dibuat sehari sebelum mesyuarat penderma dianjurkan oleh PBB, Switzerland dan Sweden.

PBB menganggarkan sebanyak 21.6 juta orang iaitu dua pertiga daripada penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan pada tahun ini.

Pemberontak Huthi merampas ibu kota Sanaa pada 2014, mendorong pakatan yang diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sejak itu, perang telah menyebabkan ratusan ribu kematian secara langsung dan tidak langsung dan menyebabkan negara tersebut di ambang kebuluran.- AFP

Media Baharu