fb fb fb fb fb

Keselamatan siber: Australia rancang baharui peraturan, tubuh agensi

SYDNEY, 27 Februari- Australia merancang untuk merombak peraturan keselamatan sibernya dan menubuhkan sebuah agensi untuk menyelia pelaburan kerajaan dalam bidang itu dan membantu menyelaras tindak balas terhadap serangan penggodam, kata Menteri Dalam Negeri Clare O'Neil menerusi siaran radio Australian Broadcasting Corporation (ABC) hari ini.

Cadangan itu dibuat kerana peningkatan serangan siber sejak akhir tahun lalu dengan pelanggaran yang dilaporkan oleh sekurang-kurangnya lapan syarikat, termasuk penanggung insurans kesihatan Medibank Private Ltd dan syarikat telekomunikasi Optus, yang dimiliki oleh Singapore Telecommunications Ltd.

O'Neil berkata peraturan keselamatan siber semasa tidak mencukupi untuk menangani serangan dan tidak dapat melindungi data pengguna dan menyalahkan kerajaan terdahulu kerana melaksanakannya.


(Foto faiL/REUTERS)

"Undang-undang itu tidak berguna, seperti tidak berbaloi untuk dicetak di atas kertas apabila ia benar-benar berlaku dalam insiden siber. Ia tidak sesuai untuk tujuan pada masa ini, dan saya fikir ia memerlukan pembaharuan", katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Anthony Albanese akan bertemu pemimpin industri dan pakar keselamatan siber pada hari Isnin. Beliau telah memutuskan untuk melantik penyelaras keselamatan siber yang berperanan untuk memastikan agensi kerajaan bekerjasama semasa insiden siber.

"Bahagian kerajaan dan sektor swasta yang berbeza (sedang) melakukan perkara penting, tetapi semuanya bergerak ke arah yang berbeza," kata O'Neil.

"Pejabat penyelaras keselamatan siber akan diwujudkan dalam Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri", katanya.

Kerajaan telah menerbitkan kertas perbincangan mengenai strategi keselamatan siber baharu yang bertujuan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan serta sedang mendapatkan maklum balas berkenaan kaedah yang boleh meningkatkan keselamatan siber dengan kerjasama kerajaan.-REUTERS

Media Baharu