BEIJING, 8 Julai - Syarikat teknologi China, ByteDance menafikan laporan bahawa pihaknya bersetuju untuk menjual pegangan kawalan dalam platform media sosial TikTok kepada sebuah konsortium Amerika Syarikat yang diketuai oleh syarikat Oracle, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut ByteDance, spekulasi serupa pernah timbul pada April lalu dan telah dinafikan ketika itu.
Pada Januari, media Amerika melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berunding mengenai pengambilalihan TikTok oleh Oracle bersama sekumpulan pelabur Amerika.
Susulan itu, Kementerian Luar China menyeru agar Amerika Syarikat menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil, saksama dan tanpa diskriminasi kepada syarikat China yang beroperasi di negara itu.
Pada Jumaat lalu, akhbar New York Post melaporkan bahawa China didakwa menangguhkan penjualan TikTok kepada pelabur Amerika bagi memaksimumkan kelebihan dalam rundingan perdagangan dengan Washington.
Pada 29 Jun, Presiden Trump mengumumkan bahawa beliau akan mendedahkan senarai pembeli berpotensi TikTok dalam tempoh dua minggu.
Pertengahan Jun lalu, Presiden Trump turut melanjutkan tarikh akhir permit operasi TikTok di Amerika Syarikat kepada 17 September, tertakluk kepada penstrukturan semula operasinya di negara itu kepada sebuah entiti baharu yang dikuasai majoriti pelabur Amerika.
Bagaimanapun, ByteDance memaklumkan kepada Rumah Putih bahawa China tidak akan meluluskan sebarang perjanjian sehingga pertikaian perdagangan dan tarif antara kedua-dua negara diselesaikan, susulan langkah Presiden Trump mengenakan tarif import yang tinggi. - BERNAMA