HAMILTON KANADA, 8 Julai - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung pemindahan besar-besaran secara paksa yang berterusan di Semenanjung Gaza dan memberi amaran bahawa lebih 700,000 orang telah kehilangan tempat tinggal sejak gencatan senjata tamat pada Mac susulan operasi ketenteraan Israel yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi .
“Semalam, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan pemindahan paksa bagi sebahagian kawasan Khan Younis untuk kali kedua dalam tempoh dua hari. Rakan sekerja kami menganggarkan lebih 50,000 orang berada di kawasan yang dijadualkan untuk dipindahkan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
“Sejak gencatan senjata berakhir pada Mac, lebih 700,000 manusia telah kehilangan tempat tinggal di Gaza, ramai antara mereka kehilangan tempat tinggal lebih daripada sekali dan mereka tiada tempat selamat untuk dituju,” katanya.
Rakyat Palestin juga dilaporkan terbunuh pada hujung minggu lalu ketika cuba mendapatkan makanan, selain memaklumkan hospital kini sesak dengan pesakit yang cedera ketika mencari bantuan.
Beliau turut menggesa Israel membuka semua lintasan bagi memudahkan agihan bantuan di wilayah itu, sambil menekankan bahawa untuk bulan keempat berturut-turut, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan sebarang bekalan bahan api memasuki Gaza. - BERNAMA