(Mumia bernama Juanita ditemukan polis Peru dalam beg penghantar makanan pada
25 Februari 2023/Reuters)
PUNO, 27 Februari- Polis Peru menemukan mumia dalam sebuah beg seorang penghantar makanan di bandar selatan dekat sini pada Sabtu.
Media tempatan melaporkan polis menemukan artifak purba itu selepas melakukan pemeriksaan ke atas sekumpulan lelaki yang disyaki mabuk di sebatang jalan di sini.
Salah seorang suspek dikenali sebagai Julio Cesar mendakwa mumia terbabit adalah milik keluarganya sejak 30 tahun lalu.
Cesar berkata, mumia wanita diberi nama Juanita itu disimpan keluarganya selepas rundingan untuk mendermakan mumia berkenaan kepada Muzium Puno gagal.
“Ia berada di bilik tidur saya, bersama saya. Terdapat katil saya, set TV dan di sebelahnya adalah Juanita (mumia).
"Saya uruskan ia seolah-olah Juanita adalah teman wanita rohaniah saya," katanya.
Kes itu kini disiasat oleh pejabat pendakwa raya. -Reuters
(Julio Cesar (kotak) mendakwa mumia terbabit adalah milik keluarganya
sejak 30 tahun lalu/Reuters)